Saturday, August 4, 2012

BILA BAHAGIA ITU YANG KITA CARI, MAKA HATI KITA SEDANG TERSENYUM.


Ini suatu kehidupan yang indah. Mungkin. Atau barangkali. Bagi siapa-siapa yang tahu menghargainya. Bukan sekadar cakap-cakap yang basi. Tapi ini adalah hakikat.



Bahagia. Ya. Rasanya semua manusia sedang cari dan kejar bahagia itu. Terpulang pada diri. Bagaimana caranya. Dan rasa bahagia ada pelbagai. Ada yang bahagia dengan derita. Ada yang bahagia dengan sengsara. Ah. Mengarut. Masakan boleh bahagia dengan sengsara dan derita. Terpulang.

Tuhan menghadirkan manusia dalam hidup kita. Sepanjang perjalanan ini, Tuhan selalu meletakkan manusia-manusia yang jarang kita temui untuk mengajarkan sesuatu. Mungkin bukan paling bermakna, tapi cukuplah sekadar ada pengajaran. Dan bergantung kepada diri sendiri sama ada pengajaran yang baik-baik atau buruk. Bergantung.

Saya telah menemukan dengan pelbagai jenis manusia. Yang mengajarkan saya erti kehidupan. Yang memberitahu perihal cinta kepada saya. Yang menunjukkan kepada saya tentang pengorbanan. Yang mendefinisikan tentang ketuhanan. Mahu pun yang menyerahkan kebergantungan kepada Al-Khaliq.
Saya juga belajar daripada alam. Melihat bintang-bintang di atas langit yang tergantung tanpa tali. Melihat rumput hijau yang sangat cantik dan indah bila mentari pagi menyorotinya dengan warna perang. Melihat suatu hidupan di darat mahu pun lautan yang sama-sama berkongsi alam.


Dari situ saya belajar. Menjadi manusia yang punya kehidupan. Sedar bahawa alam ini ada yang menciptanya. Dunia ini ada yang mengawalnya. Dan setiap kehidupan di atas muka bumi ini ada yang memilikinya.

Menjadi manusia paling dewasa bukanlah apa-apa. Tapi menjadi manusia yang tahu menghargai kehidupan adalah apa-apa. Hidup untuk apa? Hidup untuk siapa? Dan hidup adalah ke mana? Jika benar hidup untuk bahagia, maka bahagia untuk siapa? Diri sendiri? Atau manusia yang lainnya? Dan pengakhiran sebuah bahagia itu adalah ke mana?

Melihat kehidupan dari suatu sudut. Saya sedang berusaha untuk memperbaiki kehidupan saya. Satu usaha yang memakan masa sangat lama. Peluang 100% mustahil untuk mencapai tahap kesempurnaan. Namun, itu bukanlah penghalang yang menjadi bata konkrit untuk saya meneruskan kehidupan dan mengharapkan suatu kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan-kehidupan lampau saya.

Saya sedar bahawa bahagia sedang menanti saatnya saya mengenal Tuhan saya. Dan yang paling membuatkan saya tidak mahu berhenti berlari sekuat hati mahupun berlari-lari anak adalah bila Dia mengenalkan saya dengan dakwah dan tarbiyah. Kerana saya tidak mahu jadi manusia paling rugi dengan meninggalkan sesuatu yang paling berharga dalam kehidupan saya.



Saya sendiri melalui fasa-fasa sukar dalam kehidupan saya. Menerima ejekan manusia-manusia sekeliling. Mengalami depresi bila memikirkan saat berhadapan dengan keluarga besar. Mendapat tentangan maha hebat daripada keluarga sedarah, seibu dan sebapa. Menerima pandangan-pandangan aneh manusia sekeliling. Terpaksa mendengar umpat keji manusia lain. Dan meninggalkan cinta yang terpaksa ditinggalkan.
Sangat-sangat meluluhkan hati. Bagai tersiat-siat derita yang ditanggung. Rasa tiada lagi hidupan di hadapan. Terasa sendiri di bumi asing.


Silap.

Dengan kebergantungan kepada Tuhan dan optimis kepada langkah untuk meneruskan larian mencari bahagia, maka itu adalah kunci kejayaan. Banyaknya nilai-nilai yang positif yang terlahir hasil fikiran mereka yang bijaksana dan tinggi ilmunya. Oleh yang demikian, mengapa harus ada kata-kata negatif dalam kehidupan kita? Yang itu harus dipadam.

Bila saya membuang sesuatu dalam kehidupan saya, Dia sedang memberi sesuatu kepada kehidupan saya. Berbaik sangka sudah memadai. Ujian adalah anugerah. Kerana Dia mengharapkan saya agar mengingatinya sepanjang masa.



Hasbunallah wa ni'mal wakeel.
Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah sebaik-baik pelindung.



No comments: