Bismillahirrahmanirrahim~
Semoga selamat semuanya dalam memulai
hari-hari baru dalam setiap inci kehidupan yang seringkali kita terabaikan
salah kita pada manusia lain. Terkadang kata-kata kita melampaui batas. Terkadang juga
lirikan mata melebihi batas. Dan terkadang juga terdetik dalam hati,
cakap-cakap tidak elok yang tak terzahir. Maaf dengan senyuman. (^__^)
Ayah.
Selamat hari bapa. Semoga sentiasa
bahagia dan sentiasa gagah perkasa. Ini yang ingin tersangat saya sampaikan. *senyum.
Saya adalah anak
yang sedikit sekali prihatin dengan perasaan orang tua. Jangan salah faham. Saya bukan anak yang
meminggirkan kedua prang tua saya. Dan tidak sama sekali saya adalah spesis
Tanggang.
Cumanya, saya jarang
sekali bicara tentang ayah di hadapan umum. Biar di dunia nyata mahupun maya. Sedikit.
Terlalu sedikit soal ayah untuk diceritakan. Tidak tahu sebenarnya mahu mula di
mana dan akan berakhir bagaimana. Setiap patah perkataan adalah cerita tentang
ayah saya, tidak dimasukkan dengan unsur mahupun watak ayah sesiapa.
Ayah saya. Wajahnya
sudah cengkung. Nampak tulang-tulang tua pada pipi nipisnya. Sudah uzur. Terkadang
sakit menjengah. Kasihan. Tersemput-semput nafasnya. Ditarik tidak sampai,
dihembus tidak habis. Kulit yang semakin mengendur. Hitam kulitnya kerana masa
mudanya kerap diluar rumah mengerjakan kelapa-kelapa yang diusahakan dan
menguruskan bisnis kelapa kecil-kecilan. Cukuplah sekadar harta sepencarian
bersama arwah emak yang paling ayah cinta. Sumpah. Ini benar.
Urat-urat tua
pada tangan yang jelas kelihatan saban hari. Darah mencair jelas ternampak pada
kulit kerana pengambilan pil mencairkan darah (ingatkan ada ubat cairkan kahak,
tak sangka ubat sejenis ni pun ada). Sakit jantung, darah tinggi, sedikit
kencing manis, lelah, terbaru adalah gout. Ayah sudah hampir 73 tahun usianya. Masih mampu
bertahan. Berkilo-kilo ubat yang ditelan sepanjang pagi, tengah hari dan malam
selepas makan. Pesanan doktor juga supaya tidak mengabaikan penghisapan rokok. Ayah
adalah perokok tegar masa mudanya. Anak-anak lelakinya mengikut jejak langkah
ayah. Tunjuk macho konon. Ini kisah jahil dahulu. Namun, ayah masih bersemangat
dalam menjalani hari-hari dalam hidupnya. Masih mampu menekan gear motosikal
lamanya dan toyota kecintaannya. Dibawa ke hulu dan ke hilir. Berulang alik ke
rumah emak tua dan emak muda setelah tiadanya emak saya. Itulah ayah. Berbahagi
kasih sayang.
Ayah. Biar tidak
segagah dan seperkasa dahulu. Yang mampu mengendong saya dibelakang badannya. Yang
bengisnya mampu merotan abang tanpa henti biar lelah menerjang. Yang
romantiknya hanya emak sahaja pernah rasa. Dia adalah seorang tua yang
dimatanya hanya ada bahagia untuk anak-anak. Cukuplah untuk anak-anak.
Menjadi anaknya
bukanlah sesuatu kekurangan. Berada dalam keluarga yang cukup besar. Bertigakan
3 orang wanita sebagai emak. Beradik-beradikkan ramai. Terasa ditinggalkan ayah
selepas emak pergi selamanya. Hilang sayang daripada ayah. Namun, itu adalah
anugerah terbesar dari Tuhan buat diri saya yang sangat jarang diberikan pada
hambaNya. Tidak riak mahupun bangga tetapi cukuplah sekadar memberi peringatan
kepada saya bahawa saya adalah gadis
yang selalu kuat dan gagah perkasa seperti ayah bilamana saya rasa sendiri dan
sepi bila cemburu melihat ramai yang punya ayah untuk teman diri dibawa
kemana-mana.
Menjadi anak
ayah, bagi saya adalah sedikit sukar. Saya bukan anak yang sempurna. Tidak
mampu jadi sesempurna seperti anak-anak lain. Kerana saya tidak membesar
bersama ayah. Cukup usia 11 tahun membesar bersama ayah. Dan memori semakin
terluput selepas emak pergi. Tiada lagi ayah yang selalu mengendong anaknya.
Tiada lagi ayah yang sering berada di kanan saya untuk menidurkan saya. Yang
ada hanya angin dan ruang kosong. Tapi ayah. Tidak sedikit pun saya menyalahkan
ayah. Tidak sedikit pun saya membenci ayah. Tidak sedikit pun saya mencemuh
ayah. Kerana saya tahu susah yang ayah rasa. Kerana terlalu banyak anak kecil
yang perlu ayah pelihara dan jaga. Bukan hanya saya seorang. Kerana saya sedar
bahawa saya mereka sedang berkongsi kasih seorang ayah. Kerana saya adalah
gadis gagah perkasa yang telah ayah tiupkan semangat dalam diri saya.
Cukuplah saya
menggembirakan ayah dengan meringankan bebannya. Meletakkan diri
jauh sedikit dari sudut hati ayah. Bukan menjauhkan,
mengasingkan mahupun menghilangkan tetapi sekadar berada jauh sedikit dari
sudut hati ayah. Saya tidak mahu jadi beban buat ayah. Biarlah susah, saya
sendiri rasa. Biarlah ayah melihat saya sebagai seorang yang gagah perkasa dan
mampu berdiri di atas kaki sendiri. Supaya ada bahagia buat ayah dengan melihat
saya dan tersenyum puas dengan diri saya.
Ayah. Biarlah
sedih yang saya rasa terkongsi bersama nenek. Biarlah anakmu menjadi peneman
nenek yang ditinggal suaminya selepas emak menemui Tuhan yang abadi. Biarlah
terpaksa berkongsi kasih nenek dengan yang lain, asalkan saya punya tempat mengadu
bila rasa susah menyesak dada. Biarlah ada seseorang yang tahu bagaimana rasa
hati saya. Dan biarlah sama-sama perempuan yang memahami derita saya. Ingat
ayah. Bukan saya meminggirkan ayah dari
hati. Tetapi tidak mahu ayah rasa susah hati. Terbeban dengan cerita saya.
Kerana. Andai
Tuhan tidak mentakdirkan cerita ini buat saya yang telah tertulis dan terlukis
di luh mahfuz, pastinya saya tidak sekuat dan setabah ini. Pastinya air mata
akan laju jatuh ke pipi apabila melihat ayah yang lain mengendong anaknya dan
ibu yang lain mengusap rambut anaknya dengan rasa sayang. Pasti jiwa saya tidak
tersentuh dengan nasihat Luqman Al-Hakim kepada puteranya. Dan pasti saya tidak
akan berasa bangga menjadi sebahagian umat Muhammad SAW kerana pernah senasib
dengan baginda.
Rahmat Tuhan.
Cerita yang penuh rahsia. Hanya Dia yang lebih mengetahui, tiada yang lain.
Ayah. Cerita ini
bukan mahu canang tentang engkau yang telah lenyapkan kasih sayang terhadap saya.
Tidak sekali tidak. Kerana engkau adalah hero abadi dalam jiwa ini. Kerana
engkau adalah superman, batman, spiderman malah otromen sejati
bagi saya. Cerita ini mahu canang pada dunia bahawa ayah punya seorang anak
gadis yang cintakan bapanya dunia akhirat. Biar tidak terzahir, tapi dalam hati
selalu mendoakan ayah agar diberi kesihatan yang terus-terusan, diberi
perlindungan oleh Tuhan dan sepanjang umur ayah diberkati dan dirahmati olehNya
juga.
Dengan perjalanan
dakwah dan tarbiyah yang kian menusuk dalam kalbu saya, barulah saya berani
mencintai ayah secara terangan. Barulah tanpa selindung, saya bangga kerana
punya ayah saya sekarang. Jika anda mengatakan bahawa ayah anda adalah buruk,
tidak pernah baik dengan anda dan yang seangkatan dengannya, anda adalah silap
besar. Kerana tanpa ayah, anda tidak melihat cerita anda berkembang biak di
atas muka bumi. Dan bersyukurlah kerana masih punya ayah yang bernama jika
dibandingkan dengan mereka-mereka yang nama ayahnya hanya terloret di atas batu
seperti emak saya. Tuhan, please. Balasi setiap pengorbanan saya dengan
memberi lebih bahagia dan rasa senang hati buat ayah dan keluarga yang lain.
Ayah. Dalam hati
ini, engkau adalah lelaki tercinta yang ada dalam jiwa saya. Terima kasih
kerana menerima saya untuk hadir dalam hidup ayah. Dan terima kasih ayah kerana percaya pada
anakmu walau selalu risau dengan keberadaan saya yang entah di mana semata-mata
kerana seruan dakwah. Ayah, mohon doa dalam senyapmu supaya saya juga ditemukan
dengan ayah kepada anak-anak saya yang selalu faham dan mengerti tentang
perjuangan Rasulallah SAW, para sahabat, Sultan Muhamad Al-Fateh, As-Syahid
Imam Hassan Al-Banna dan mereka-mereka yang berjuang atas nama islam kerana
redha Tuhan. Sayang selamanya.
(^__^) Love you ayah ~
No comments:
Post a Comment