Thursday, December 23, 2010

Antara Satu Garisan.

Antara Satu Garisan

Bismillahirrahmanirrahim~

Hidup sering disalaherti. Mungkin mereka beza. Mungkin mereka tidak faham. Terasa dengan sedikit pengakuan jujur manusia. Namun, aku gagahkan hati ini untuk terus mendengar. Mungkin punya jalan penyelesaian. Mungkin punya nasihat yang bisa sentuh hati mereka. Diam. Asing. Menyingkir. Jatuh. Tewas. Semua itu berlegar-legar dalam kotak minda.

Tudingan itu dan jelingan itu seolah-olah melirih pada aku. Seolah-olah aku yang bina rosak. Seolah-olah aku yang cipta salah. Mengapa pelaku yang sepatutnya disalahkan, tetapi aku yang tetap dipandang serong? Aku tidak seperti mereka. Aku bukan mereka. Kamu baru mengerti aku semalamkah? Sayu.

”Eleh, name je budak sekolah agama. Tapi perangai macam TAIK!”

”Aku heran ape, budak tudung labuh pun COUPLE. Perasan baik sangat.”

“Perangai ANAK IMAM cam tu?Baik la jadi anak bandua macam aku ni ha. Terang-terang jahat.”

”Tak sangka kan, dulu kat sekolah pakai tudung sampai seret tanah. Dah habis sekolah SEKSI cam ni. Seksa tu.”

Jatuh menyembah bumi. Salah akukah? Salah mereka, muslimah bertudung labuhkah? Salah didikan ibu bapa dan gurukah? Atau. Salah mereka yang tidak tahu menilai?

”Dorang bole lah. Alim, pakai tudung labuh. Ustaz Ustazah. Belajar agama sampai Mesir tu ha. Allah pandang. Aku ni sape la. Pakai tudung pun nampak leher. Sembahnyang pun tinggal-tinggal lagi. Nak pergi ceramah agama? Algi la tak layak nak duduk dengan orang-orang cam tu.”

Cuba fikir. Pernah ucap kata dengan suara zahir? Atau pernah kata ini berlegar-legar di minda seakan mahu diluah tapi tertahan?

Antara satu garisan. Bukan double line atau bold line. Manusia semua sama. Tiada yang beza kerana tiada siapa tahu pengakhiran hidup melainkan hanya Dia. Oleh itu, kenapa harus double standard ? Menyalahkan orang lain sedangkan diri sendiri belum tentu betul atau salah. Mengapa tak pernah cuba baiki diri sendiri sebelum mula salahkan orang lain? Apa dosa mereka yang tidak tahu apa-apa sehingga dipandang serong?

”Oh. Kalau macam tu, biarlah kami ustaz dan ustazah. Orang yang sempurna tutup aurat ni masuk syurga ya. Korang masuklah NERAKA JAHANNAM. Tak payah jenguk-jenguk syurga.”

Adilkah Tuhan andainya ini penyelesaiannya?

Pasti tidak. Dan aku percaya ramai akan menyalahkan takdir.

”Tuhan tak adil! Kenapa aku dilahirkan dalam keluarga macam ni? Ayah, minum arak. Mak GRO, jual badan puaskan nafsu lelaki.”

”Kenapa Allah tak pernah bagi peluang kat aku untuk taubat? Kenapa Allah tak pernah bagi hidayah kat aku?”

Cermin diri sendiri. Hanya tahu salahkan orang lain tapi tak pernah lihat diri sendiri. Kejam! Dayus! Hina! Keji!

Tolong jangan salahkan muslimah bertudung labuh yang tidak buat salah. Tolong jangan salahkan muslimah yang tidak berlaku dusta. Tolong jangan pandang kami dengan serendah-rendah pandangan. Kerana kami hanya perempuan biasa. Sama. Bukan persis atau seakan-akan. Kita serupa.

Bezanya kita bukan pada paras. Tapi pada akhlak dan matlamat hidup. Hidup kami untuk gapai redha Allah. Kerana mata kami tidak buta. Telinga kami tidak tuli. Dan mulut kami tidak bisu. Tanya pada diri sendiri. Apa tujuan hidup? Bukankah di situ sebenarnya beza antara kita. Mati kita, adakah sedar bagaimana nanti? Masih islam atau kafir? Siapa berani beri jaminan? Hanya Tuhan Maha Mengetahui.

Maaf andai kata ini bisa robek hati. Tapi marah aku, kecewa aku kerana punya sahabat yang tidak faham dengan makna hijrah yang cuba aku capai. Mungkin mereka perlu masa. Mungkin aku perlu sendiri. Bersihkan luka yang pernah kamu calar.


Wednesday, December 22, 2010

Pasti.

Bismillahirrahmanirrahim~

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.

Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.”

(Al-Ankabut 29:57)

Yang hidup pasti akan merasa sakitnya mati. Yang bernafas pasti akan rasa sesaknya dada kerana hilangnya udara. Masa yang singkat untuk menghargai sebuah kehidupan. Untuk merasa secebis kegembiraan. Untuk merasa sekelumit tawa.

Setiap saat untuk kematian. Setiap detik Izarail tak pernah lalai dengan tugas dan tanggungjawabnya. Digalasnya dengan penuh hemah dan amanah. Tanpa lesu. Tanpa lelah.

Sedang aku. Sedaya upaya cuba memadamkan kematian dalam kotak minda. Tak mahu menerobos realiti yang pasti. Saat terdengar kematian. Takut. Tak bersedia. Menangis sehabis mahu.

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang gaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”

(Al-Jumu’ah 62:8)

Cuba tanya pada masyarakat, siapa yang sudah sedia mahu ketemu mati? Pasti dan yakin, tiada siapa rela lurus tangan menjulang ke langit atau tegak berdiri menongkat kaki. Melainkan jihad fisabilallah mencari redha Ilahi.

Realiti sebuah kehidupan. Mati itu pasti untuk semua makhluk. Muhasabah itu buat jiwa tenang. Buat hati rasa tenteram. Tiap yang salah harus sujud mohon ampun dan hanya taubat kepadaNya.

Monday, December 13, 2010

Liku-Liku Sebuah Kehidupan.


Bismillahirrahmanirrahim~

Hidup tidak pernah lari daripada ujian. Kerana ujian itu telah diciptakan untuk umatNya. Baik atau jahat seseorang hamba itu, Tuhan tetap beri ujian. Selalu kita dengar kesusahan, kesedihan dan penderitaan adalah musibah dan ujian daripada Allah. Tapi sering kita lupa bahawa kesenangan dan kemewahan juga satu ujian. Dan disebalik ujian yang diciptakan buat hambaNya, terselit seribu rahmat yang tiada siapa tahu melainkan hanya Dia Yang Esa.

”... dan ketahuilah, Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya…"

(Al-Baqarah:286)



Coretan sebuah perkongsian daripada kisah seorang sahabat yang dalam kesedihan. Dia inspirasi buat jiwa ini kental.

Hidupnya hilang insan tersayang. Hamba yang paling akrab dan sangat dekat dengan dirinya. Perginya ayahanda dijemput Ilahi. Hilang kasih dan sayang seorang bapa. Pada siapa harus meminta kasih dan sayang itu? Hanya ibu tempat mengadu. Beberapa ketika, dirinya ditimpa musibah. Terbengkalai usahanya melakar secebis kegembiraan. Pengajiannya ke luar negara terpaksa ditangguhkan kerana kesihatan yang tidak mengizinkan. Dirinya sepi. Sendirian ibarat roh berkeliaran tanpa jasad. Iri melihat rakan-rakan yang sama berjuang merantau ke negeri orang sedang dia masih di takuk sama.

Ujian ini buat dirinya jadi tabah. Penuh sabar. Liku-liku hidup ditempuh dengan senyuman walau dalam hati hanya esak dan tangis. Tinggallah bonda penyuntik semangat dan kekuatan buat dirinya untuk terus hidup.

Dalam sekelip mata, tiba-tiba Tuhan rebut kasih bonda tercinta. Sekali lagi dirinya sendirian. Yatim piatu. Apa yang ada untuk teruskan kehidupan. Sekali lagi parut itu luka. Esak dan tangis hanya simpan dalam hati.

Dirinya hari ini sedih. Rindu pada bonda.


Andai sahaja aku tahu apa caranya untuk buat hatinya kembali ceria. Andai aku tahu apa ubat hatinya agar dirinya terbius daripada sengsara. Biar terpalit benih-benih bahagia.

Ketahuilah sahabat untuk dirimu yang aku sayang,


Maka sesungghunya dalam kesulitan ada kemudahan”

(Al-Insyirah: 5)



Ujian itu adalah tempaan Allah untuk orang yang beriman. Ujian adalah tanda Allah sayang pada hambanya. Biar menangis air mata darah sekalipun, sabar dan solat adalah penawar segala kesulitan.


“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun (Kita milik Allah dan kepada-Nya kita dikembalikan)

(Al-Baqarah: 155-156)



Allah ciptakan ujian untuk hambanya rasa nikmat yang Allah berikan. Untuk rasa sakit, untuk rasa pedih, untuk rasa sengsara. Di sebalik kedukaan itu, Allah titipkan rasa manisnya iman setelah ujian itu gagah untuk diharungi. Hanya pada Allah diri ini berserah.




Apakah Cinta Itu Sebenarnya Untuk Kita?



Bismillahirrahmanirrahim~

Saban hari kita jumpa orang yang berbeza. Beza sikap, beza perwatakan dan beza jantina. Dan saban hari itulah setiap perasaan yang berbeza wujud menerjah dalam diri. Ada rasa suka, gembira yang teramat. Ada rasa benci, kadang meluat. Ada rasa simpati ditaburi sedikit kasihan. Dan tidak kurang pula, datangnya cinta pandang pertama.

Saat melihat dirinya, hati jadi tenteram, aman dan tenang. Ibarat terbang di awangan. Bagai cerita cinta dalam kisah dongeng. Tapi, apakah cinta itu sebenarnya untuk kita?

Perenggan 1

Uda dan Dara bercinta berjanji setia sehidup semati. Sampai masa, hanya Allah yang tahu. Cinta dipertengahan. Dara bertemu jodoh dengan insan lain. Sedang Uda berkelana sendirian tanpa arah tujuan.

Perenggan 2

Uda dan Dara bahagia membina mahligai indah atas dasar cinta, kasih dan sayang. Beberapa tahun berlalu, Uda dan Dara mula tidak sependapat. Dan akhirnya membawa haluan sendiri. Masing-masing bagai orang asing yang datang dari planet lain.

Apakah cinta itu sebenarnya untuk kita?

Cinta yang tiada matlamat. Cinta yang tidak pernah ditarbiyah. Cinta yang tidak disulam dengan niat lillahi ta’ala . Tidak.

Cinta itu sebenarnya untuk kita jika Cinta itu ditempatkan dalam tempat yang sememangnya menjadi haknya. Cinta yang ditarbiyah itulah sebenarnya cinta untuk kita. Cinta yang setiap malamnya dihujani dengan air mata. Cinta yang setiap paginya dibasahi dengan embun zikrullah. Cinta yang setiap senjanya didendangkan dengan kalamullah. Dan cinta sebelum malamnya berlabuh dinodai dengan muhasabah keinsafan.

Sunday, December 12, 2010

Kerana kita hanya manusia.

Bismillahirrahmanirrahim~

Hakikat kehidupan. Takdir dan ketentuan Ilahi. Segalanya sudah tercatat di luh mahfuz sejak azali. Permulaan sebuah kehidupan hingga pengakhiran sebuah kematian. Semuanya kita isi di dalam balang hingga penuh. Hidup kita, pilihan kita. Tuhan tak pernah larang. Tuhan juga tidak galakkan. Kerana Tuhan hanya beri akal untuk buat pilihan. Namun, dalam PILIHAN itu yang kadang-kadang menjadikan kita rumit untuk tentukan kebaikan atau keburukan buat diri kita.

Tiada manusia yang tidak suka kebaikan dan tiada manusia yang suka keburukan. Tanya saja pada pembunuh, perompak, pencuri atau yang seangkatan dengannya. Jika diberi pilihan, adakah mereka mahu terjebak dalam onar dan liku-liku kepayahan hidup sebagai seorang pendosa? Pasti yang teramat, jawapannya adalah TIDAK. Kerana mereka mahu memilih kebaikan. Bukan keburukan.

Setiap daripada kita pasti punya cerita hidup yang berbeza. Ada yang masa mudanya penuh dengan kejahilan. Dan ada pula yang masa mudanya hanya pengabdian kepada Ilahi. Tetapi, sejauh mana ianya istiqamah dan menjadi reality pada 50 akan datang? Dan kerana hakikat kehidupan, takdir dan ketentuan Ilahi, segalanya bias berubah dalam sekelip mata. Yang dahulunya jahil, kini temui NUR dalam pengakhiran kehidupannya. Manakala yang dahulunya hanya pengabdian, kini nafsu mula bermaharajalela di pengakhiran hidupnya. Inilah hakikat kehidupan. Iman turun dan naik. Kadang di tangga teratas. Kadang tersungkur menyembah bumi.

Tuhan beri pilihan, kita yang harus pilih jalan untuk kemudi pelayaran sebuah kehidupan. Redah ombak atau redah ice berg seperti filem Titanic? Semoga tiap-tiap pilihan itu didahului dengan istikharah mahupun petunjuk daripada Sang Pencipta supaya tidak tersesat dalam belantara yang tiada penghujung. Doa itu senjata orang mukmin. Sabar itu perisai orang mukmin. Tawakkal atas ketentuanNya. Kerana hidup hanya untuk redha Ilahi. Moga pengakhiran sebuah kehidupan berakhir dengan kisah dongeng yang bahagia.

Kisah seorang wanita.

Bismillahirrahmanirrahim~

Kisah seorang wanita.

Mendamba cinta Sang Kekasih. Perawat hati. Penenang kalbu.

Hidupnya tidak lain hanya mencari sinar bahagia.

Mencari yang abadi dan hakiki.

Dalam pencariannya mengenal cinta abadi, dirinya temui jalan sukar.

Penuh duri, penuh liku, ada rintangan di hadapan, ada cabaran menanti. Deritanya itulah kekuatan dalam dirinya. Tidak tertahan jiwa dan akalnya kerana dia hanya insan biasa yang tidak punya kuasa bisa merubah apa-apa. Dalam dirinya hanya ada secebis kesabaran dan sekelumit ketabahan. Dalam mencari cinta abadi, dirinya menempuh panas sahara dan hujan badai. Pernah tersungkur di jalanan. Namun diteruskan jua kerana azamnya tidak mahu tewas. Dirinya teruskan perjalanan walau sendirian. Kisahnya kini tiada siapa tahu. Hikayatnya kini hanya dianggap dongengan.

~Rabiatul Adawiyah~


Saturday, December 11, 2010

kerana Allah lebih mengetahui.

Bismilahirrahmanirrahim~

Dia yang menciptakan. Dia yang menjadikan. Baik dan buruk, semua datang daripadaNya. Hikmah dan keajaiban juga datang daripadaNya. Tangis, tawa, dan air mata Dia yang jadikan. Hanya Dia, tiada yang lain. Kerana Dia lebih mengetahui apa yang terjadi.

Dia yang memelihara hati-hati ini. Dia yang memegang jiwa-jiwa ini. Dia Maha Mengetahui sedang kita tidak mengetahui walau sekelumit pun.

Dia mengetahui setiap inci apa yang terbaik buat diri hambaNya. Biar derita. Biar bahagia. Kerana Dia cipta hikmah yang terselindung disebalik bahagia dan sengsara itu.

“Allah adalah mengikut persangkaan kita. Jika baik yang disangka, maka baiklah untuk kita. Jika buruk yang disangka, maka buruklah untuk kita.”

Tuhan,

Beri kami sabar.

Beri kami tabah.

Agar selalu kami berada di jalanMu tanpa lelah.

Beri Hati Ini Sedikit Bahagia.

Ku Bisikkan Kerinduan

Subhanallahi wa bihamdih

Subhanallahal ‘azim

Mungkinkah esok masih lagi punya suara dan lagu untuk zikir ini?

Tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Hanya taat dan patuh pada suruhanNya yang mampu aku tunaikan saat ini.


Tidak mahu apa-apa. Aku hanya pinta bahagia.

Biar hati ini tenang. Setenang air dikali.

Tidak mahu apa-apa. Aku hanya pinta bahagia.

Bahagia untuk sebuah hati yang paling aku sayang.

Bahagia untuk sebuah hati yang paling aku cinta.

Bahagia untuk lihat hati yang mampu buat aku tersenyum.

Siapa pernah tahu betapa deritanya hati ini tatkala tiada bisikan kerinduan daripada Sang Ilahi?

Aku tidak mahu apa-apa, hanya pinta sedikit bahagia untuk hati ini.

Yang bisa kaburkan sedikit lara.

Biar pudar semua sengsara.