Bismillahirrahmanirrahim~
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.
Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.”
(Al-Ankabut 29:57)
Yang hidup pasti akan merasa sakitnya mati. Yang bernafas pasti akan rasa sesaknya dada kerana hilangnya udara. Masa yang singkat untuk menghargai sebuah kehidupan. Untuk merasa secebis kegembiraan. Untuk merasa sekelumit tawa.
Setiap saat untuk kematian. Setiap detik Izarail tak pernah lalai dengan tugas dan tanggungjawabnya. Digalasnya dengan penuh hemah dan amanah. Tanpa lesu. Tanpa lelah.
Sedang aku. Sedaya upaya cuba memadamkan kematian dalam kotak minda. Tak mahu menerobos realiti yang pasti. Saat terdengar kematian. Takut. Tak bersedia. Menangis sehabis mahu.
Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang gaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(Al-Jumu’ah 62:8)
Cuba tanya pada masyarakat, siapa yang sudah sedia mahu ketemu mati? Pasti dan yakin, tiada siapa rela lurus tangan menjulang ke langit atau tegak berdiri menongkat kaki. Melainkan jihad fisabilallah mencari redha Ilahi.
Realiti sebuah kehidupan. Mati itu pasti untuk semua makhluk. Muhasabah itu buat jiwa tenang. Buat hati rasa tenteram. Tiap yang salah harus sujud mohon ampun dan hanya taubat kepadaNya.
No comments:
Post a Comment