Monday, December 13, 2010

Liku-Liku Sebuah Kehidupan.


Bismillahirrahmanirrahim~

Hidup tidak pernah lari daripada ujian. Kerana ujian itu telah diciptakan untuk umatNya. Baik atau jahat seseorang hamba itu, Tuhan tetap beri ujian. Selalu kita dengar kesusahan, kesedihan dan penderitaan adalah musibah dan ujian daripada Allah. Tapi sering kita lupa bahawa kesenangan dan kemewahan juga satu ujian. Dan disebalik ujian yang diciptakan buat hambaNya, terselit seribu rahmat yang tiada siapa tahu melainkan hanya Dia Yang Esa.

”... dan ketahuilah, Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya…"

(Al-Baqarah:286)



Coretan sebuah perkongsian daripada kisah seorang sahabat yang dalam kesedihan. Dia inspirasi buat jiwa ini kental.

Hidupnya hilang insan tersayang. Hamba yang paling akrab dan sangat dekat dengan dirinya. Perginya ayahanda dijemput Ilahi. Hilang kasih dan sayang seorang bapa. Pada siapa harus meminta kasih dan sayang itu? Hanya ibu tempat mengadu. Beberapa ketika, dirinya ditimpa musibah. Terbengkalai usahanya melakar secebis kegembiraan. Pengajiannya ke luar negara terpaksa ditangguhkan kerana kesihatan yang tidak mengizinkan. Dirinya sepi. Sendirian ibarat roh berkeliaran tanpa jasad. Iri melihat rakan-rakan yang sama berjuang merantau ke negeri orang sedang dia masih di takuk sama.

Ujian ini buat dirinya jadi tabah. Penuh sabar. Liku-liku hidup ditempuh dengan senyuman walau dalam hati hanya esak dan tangis. Tinggallah bonda penyuntik semangat dan kekuatan buat dirinya untuk terus hidup.

Dalam sekelip mata, tiba-tiba Tuhan rebut kasih bonda tercinta. Sekali lagi dirinya sendirian. Yatim piatu. Apa yang ada untuk teruskan kehidupan. Sekali lagi parut itu luka. Esak dan tangis hanya simpan dalam hati.

Dirinya hari ini sedih. Rindu pada bonda.


Andai sahaja aku tahu apa caranya untuk buat hatinya kembali ceria. Andai aku tahu apa ubat hatinya agar dirinya terbius daripada sengsara. Biar terpalit benih-benih bahagia.

Ketahuilah sahabat untuk dirimu yang aku sayang,


Maka sesungghunya dalam kesulitan ada kemudahan”

(Al-Insyirah: 5)



Ujian itu adalah tempaan Allah untuk orang yang beriman. Ujian adalah tanda Allah sayang pada hambanya. Biar menangis air mata darah sekalipun, sabar dan solat adalah penawar segala kesulitan.


“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun (Kita milik Allah dan kepada-Nya kita dikembalikan)

(Al-Baqarah: 155-156)



Allah ciptakan ujian untuk hambanya rasa nikmat yang Allah berikan. Untuk rasa sakit, untuk rasa pedih, untuk rasa sengsara. Di sebalik kedukaan itu, Allah titipkan rasa manisnya iman setelah ujian itu gagah untuk diharungi. Hanya pada Allah diri ini berserah.




No comments: